Wednesday, May 21, 2008

Undangan Perkahwinan

Mia sendiri tidak menyangka. Tidak tahu mengapa dia yang beria-ia meminta kad undangan ke majlis perkahwinan Adam. 3 bulan yang lepas, Adam telah menyampaikan berita yang dia akan menyunting Wanda. Mia hanya mampu mengukir senyuman yang kelat. Gerak hatinya kuat mengatakan , ada perkhabaran kurang enak yang akan dari terima dari Adam petang itu. Ternyata, gerak hatinya tak pernah silap.

"Abang ada perkara nak sampaikan pada Mia. Abang harap Mia dah sedia untuk menerima," Adam memulakan bicara petang itu denga nada berhati-hati. Dia cukup arif, berita yang bakal disampaikan pada Mia itu nanti hanya akan menambahkan lagi luka di hati gadis ini, gadis yang pernah menghuni segenap ruang hatinya dulu.

"Cakap jerlah abang. Mia sedia mendengar. Lagipun , Mia rasa , Mia dah tahu apa yang ingin abang sampaikan. Cuma Mia ingin mendengar sendiri dari mulut abang," Mia memberanikan diri menatap sepasang mata milik Adam.

"Abang akan bernikah dengan Wanda..Mia," akhirnaya, berita yang disimpan selama beberapa minggu itu terluah jua.

Hanya senyuman kelat terukir di bibir Mia Zarina. Dia masih bisa tersenyum, walhal hatinya kini sedang berlagu sayu. Putus sudah hubungan yang telah terjalin hampir 6 tahun dengan begitu saja.

"Tahniah abang. Bila hari langsungnya ?" Mia cuba sedaya upaya untuk sembunyikan perasaannya yang sebenar ketika ini.

"Mia nak datang ke ?" Adam seperti terkejut dengan pertanyaan Mia.

"Mengapa tidak ? Mia teringin nak tengok abang dalam persalinan pengantin, walaupun bukan Mia nanti yang bergandingan dengan abang. Tak salahkan ?" Mia merenung tajam ke anak mata Adam.

Adam serba salah. Bukan dia tak mahu menjemput Mia. Tapi perasaan dia bercelaru. Dia tak mahu Mia terus menerus terluka dan kini dia perlu menjaga hati Wanda, bakal isterinya. Perlahan-lahan , Adam mengeluarkan sekeping kad undangan yang berwarna keemasan sampulnya dari begnya. Dia membelek kad itu seketika sebelum perlahan-lahan menghulurkan pada Mia.

"Jemput datang ya Mia," Adam berbasa-basi.

Mia Zarina mengeluarkan kad jemputan dari sampulnya. Matanya tertumpu pada nama pengantin perempuan yang tercetak di depan kad. Hatinya dipagut pilu. 'Nama aku yang sepatutnya tertulis di situ' . Mata Mia mencari tarikh majlis akan berlangsung. 8 hari bulan Ogos. Tarikh itu memang cantik. Jika tidak , masakan Mia sebenarnya inginkan tarikh itu untuk hari bahagianya dengan Adam . Sungguh Mia tidak menyangka. Adam sanggup pilih tarikh itu untuk hari bahagianya dengan Wanda.

"InsyaAllah abang . Mia akan datang ke majlis abang,"

Sewaktu memandu pulang, Mia seolah-olah hanyut dalam perasaannya sendiri. Perasaannya tiba-tiba kosong. Tiada apa lagi yang tinggal untuk Adam. Kekecewaan yang dia tanggung menyebabkan hatinya sudah mula memberi tindak balas, hinggakan satu demi persatu perasaan yang pernah hadir untuk Adam telah mula menghilang. Sesekali , matanya mengilas pada kad undangan Adam yang berada di tempat duduk penumpang disisinya.

Usai sampai di rumah sewanya , Mia terus ke balkoni. Di sinilah selalunya tempat dia mencari kedamaian. Tak rugi rasanya dia menyewa kondominium ni bersama Zara. Pemandangan yang tersaji cukup mendamaikan jiwa.

" Mia. Kad jemputan siapa ni ?" entah bila masanya Zara pulang, Mia sendiri tak pasti. Setahu dia , sewaktu dia sampai tadi , tiada orang di rumah. Malah kereta Zara juga tiada di pakir.

"Bila masa pulak kau balik ni Zara ? Macam hantu...tetiba jer bersuara !" Mia mengurut dada kesan terkejut dengan sapaan Zara sebentar tadi. Mia hanya melihat dari jauh, telatah Zara membelek-belek kad yang asalnya terdampar di atas meja.

"Bukak jerlah kalau kau nak tahu siapa gerangannya," Mia memberikan kebenaran. Walaupun dia dan Zara amat rapat , namun mereka amat menghormati privasi masing-masing. Jika tiada keizinan yang diberi , masing-masing tidak akan memandai-mandai menceroboh hak orang lain.

"Mia ??!!! Biar betul ni ??," Zara seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dibacanya . Nama pengantin lelaki cukup dia kenal. Adam Fitri , lelaki yang selama ini namanya tak lekang dari bibir Mia.

"Betullah tu. Takkan main-main pulak. Dah ada kad jemputannya pun," Mia hanya tersenyum dengan gelagat Zara.

Zara terus merapati Mia. Dia peluk sahabat kesayangannya itu. Dia tahu, Mia sedang lalui satu pengalaman yang paling pahit.

"Jangan risau Zara. Aku OK ," Mia masih membiarkan dirinya di peluk Zara. Entah mengapa , tiada lagi air mata yang mengalir.

"Jangan macam tu Mia. Aku tahu kau tengah sembunyikan semua perasaan kau. Aku tak nak kau menanggung semuanya sendirian Mia," terpancar riak risau di wajah Zara. Mia memang tak pernah suka berkongsi cerita peribadinya dengan sesiapa sahaja, walaupun dirinya sendiri.

" Ya Allah...Zara...betul , aku OK. Cuma nanti aku nak minta tolong dari kau, temankan aku ke majlis perkahwinan Adam. Itupun kalau kau sudi, " Mia mengenggam erat lengan Zara, seolah-olah meminta semangat Zara untuknya meneruskan hidup.

" Dah lah Zara. Mari masuk. Senja dah ni,"

No comments: