"Mia, abang minta maaf sayang..," hanya itu perkataan yang mampu diluahkan oleh Adam ketika itu. Betapa berita yang disampaikan sebentar tadi telah menghancur luluhkan hati seorang gadis bernama Mia Zarina. Gadis yang dulunya dipuja. Gadis yang selalu dirinduinya.
Adam tahu, dia telah melukakan hati dan perasaan Mia. Tapi dari terus menerus memberi harapan pada Mia, sedangkan cinta dalam hatinya pada Mia sudah pudar. Bukan salah Mia jika dia berubah hati. Cuma hatinya telah diusik oleh Wanda.
Wanda. Kalau nak diikutkan pada pandangan mata kasar, Wanda jauh lebih menarik dari Mia. Tinggi lampai , pandai bergaya malah pandai menggoda. Jauh personaliti dua orang gadis ini sebenarnya . Mia yang cukup sederhana dalam segala hal. Bukan Mia tidak cantik , cuma gadis ini lebih selesa wajahnya tiada sebarang palitan 'make-up'.
"Wanda cintakan Adam. Hanya Adam yang Wanda mahu !" kata-kata manis Wanda masih terngiang-ngiang di pendengaran Adam . Pengakuan berani Wanda berjaya membuat debaran hati lelakinya berdegup kencang. Apatah lagi dengan suasana romantis di restoran ekslusif ini, segala-galanya tampak sempurna. Perasaan bangga meresap pada dirinya. Tinggi lagi ego lelakinya. Masakan tidak , gadis secantik Wanda mengenggam erat lengannya sewaktu mereka melangkah masuk ke dalam restoran itu tadi. Saat itu , nama Mia Zarina seolah-olah tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.
Kalau nak diikutkan , dia baru sahaja mengenali Wanda. Wanda hadir dalam hidupnya setelah gadis itu mula bertugas sebagai setiausahanya 5 bulan lalu, menggantikan tempat Lina yang berhenti sementelah harus mengikut sang suami bertugas di luar negara. Pada awalnya , tiada sebarang perubahan pada hubungan yang terjalin. Masing-masing komited pada tugas, cuma setelah Delima Holdings berjaya mendapatkan satu tender milik kerajaan, segala-galanya berubah. Banyak masa mereka habiskan bersama tak kira siang atau malam demi menjayakan projek besar Delima Holdings pada tahun ini.
Adam sedar, kealpaannya melayan perasaan cinta bersama Wanda , telah menyebabkan Mia terluka. Dia akui , keretakan hubungannya dengan Mia berpunca pada dia. Tapi dia sendiri hairan. Bagaimana Wanda berjaya mencairkan hati lelakinya, padahal sebelum ini datanglah bidadari secantik mana pun , hanya Mia tetap dihatinya.
Esak tangis Mia menyedarkan semula Adam dari lamunannya. Walaupun Mia berusaha untuk berselindung , tapi air mata yang mengalir jelas kelihatan di pipi gebunya. Hati Adam dipagut rasa bersalah. Dia tak tahu, bagaimana cara lagi harus dijelaskan pada Mia agar hati gadis itu tidak parah. Dia buntu.
Mia mengumpul segala kekuatan yang masih bersisa pada dirinya. Dia mengesat air matanya buat sekian kali. Cukuplah , dia merasa begitu lemah di depan Adam. Adam telah dapat melihat kelemahan dirinya. Dia tak mahu terus menerus kelemahan dirinya terburai didepan Adam.
"Tak apalah Abang . Mia anggap antara kita memang telah tertulis , tiada jodoh. Mia harap, abang halalkan segala makan dan minum Mia selama ini. Mia tak pernah lupa doakan kebahagiaan Abang," Mia merenung anak mata Adam. Dia tahu, dia tak akan dapat melihat lagi sepasang mata redup Adam. Mata yang dulu berjaya membuka hatinya pada cinta.
Hati Mia remuk . Benar-benar hancur. Namun untuk terus menerus menangis di depan Adam , dia tak sanggup. Dia masih ada maruah untuk dipertahankan. Dia bukan gadis murahan yang merayu-rayu pada sang kekasih agar jangan diri ditinggalkan.
"Abang , Mia nak balik dulu. Jaga diri abang baik-baik. Tentang diri Mia , tak perlu abang risau. Pandailah Mia jaga diri, " Mia cuba mengukir senyum. Saat itu , hatinya ingin segera pulang ke rumah. Ingin segera mendapatkan mama agar luruh segala kesakitan yang ditanggung ketika ini.
"Mia. Abang minta maaf sayang," hanya itu perkataan yang mampu terluah dari bibir Adam dari tadi. Mia memandangnya sayu sebelum memalingkan diri melangkah pergi. Mia tidak lagi memandang kebelakang seperti kebiasaannya. Hati Adam terusik. Tiada lagi lambaian manja Mia untuk dirinya.
Tiba-tiba dia terasa amat kehilangan. Seolah-olah separuh dari hidupnya pergi bersama Mia. Namun perasaan itu tidak lama, setelah telefon bimbitnya mengalunkan lagu Mark Anthony , My Baby You. Tidak perlu melihat pada paparan skrin. Adam tahu siapa si pemanggil .
"Wanda...I want to meet you....."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment